SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor tidak berkompromi dengan sebarang penyalahgunaan rumah ibadat bagi tujuan jenayah tanpa mengira agama, kaum atau latar belakang pihak terlibat di negeri itu.
Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan negeri V. Papparaidu berkata beliau memandang serius laporan media tentang penemuan dadah di sebuah rumah ibadat tidak berdaftar di Klang, dekat sini menerusi operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor yang dijalankan antara 13 hingga 19 Okt lepas.
"Kes ini menunjukkan pentingnya tindakan penguatkuasaan tegas bagi membanteras kegiatan pengedaran dadah dan penyalahgunaan premis.
"Rumah ibadat sepatutnya menjadi tempat dihormati, dipelihara kesuciannya dan memberikan ketenangan kepada penganut agama masing-masing, bukannya tempat penyimpanan bahan terlarang atau kegiatan jenayah," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (LIMAS) itu berkata tiada kompromi terhadap sebarang penyalahgunaan rumah ibadat bagi tujuan jenayah.
"Bagaimanapun, kita perlu membezakan antara perbuatan jenayah individu dengan institusi keagamaan serta komuniti penganut agama berkenaan. Kesalahan segelintir individu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk memburukkan atau memberikan stigma kepada keseluruhan komuniti agama tertentu," katanya.
Beliau berkata isu itu bukan soal agama atau kaum, sebaliknya berkaitan kedaulatan undang-undang, keselamatan masyarakat dan penghormatan terhadap kesucian rumah ibadat.
"Sebarang kegiatan jenayah perlu ditangani berdasarkan bukti dan undang-undang, bukannya sentimen atau prasangka terhadap mana-mana kumpulan masyarakat.
"Saya menyokong usaha polis menjalankan siasatan secara menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang terlibat," katanya.
Dalam pada itu, Papparaidu berkata pematuhan peraturan penggunaan tanah dan premis rumah ibadat perlu dipastikan oleh pihak berkuasa berkenaan mengikut peruntukan undang-undang.
“Di samping itu, masyarakat diseru tidak menyebarkan maklumat belum disahkan atau membuat kesimpulan yang boleh mencetuskan ketegangan antara agama,” katanya.
Terdahulu, polis Selangor berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang dipercayai menjadikan sebuah rumah ibadat tidak berdaftar di Klang sebagai tempat penyimpanan menerusi operasi di sekitar Selangor dari 13 hingga 19 Okt lepas.
-- BERNAMA